Apabila perginya bulan Ramadhan yang lalu tidak bermakna berakhir sudah ibadah yang dikejarkan pada bulan mulia itu. Dalam keseronokan menyambut Syawal, semua orang masih berpeluang merebut ganjaran dan pahala di bulan ini dengan berpuasa sunat selama enam hari.
Puasa enam atau puasa sunat selepas Ramadhan adalah puasa yang dikerjakan sebanyak enam hari pada bulan Syawal. Namun, hakikatnya tidak mudah berpuasa dalam keadaan orang lain bebas makan dan minum dengan hidangan yang enak sepanjang Aidilfitri ini.
Disebabkan itu, Allah memberi fadilat dan kelebihan untuk sesiapa yang mengerjakan puasa enam ini dengan ganjaran yang sangat besar dan istimewa. Hukumnya adalah sunat, bukanlah wajib namun rugi sekiranya anda tidak merebut peluang ini. Jom kita tengok empat kelebihan puasa enam, masih terlambat untuk anda buat !
1) Ganjaran Pahala Berpuasa Setahun
Jika puasa di bulan Ramadan, Rasulullah s.a.w menjanjikan pengampunan dosa yang lampau, maka dengan melengkapkan puasa enam hari dalam bulan Syawal pahalanya sama seperti berpuasa setahun. Seperti yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub ra, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringinya dengan puasa enam hari bulan Syawal, bererti ia telah berpuasa setahun penuh.” Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah
Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan bahawa puasa enam hari pada bulan Syawal, pahalanya sama seperti puasa penuh setahun dengan syarat, telah kita melengkapkan puasa sebulan Ramadan.
2) Melengkapkan Kekurangan Puasa Ramadhan
Al-Hafiz Ibnu Rajab berkata, puasa enam hari di bulan Syawal akan melengkapkan kekurangan dan kecacatan yang terdapat sewaktu melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Selain itu, terdapat beberapa pandangan ulama dari mazhab al- Syafi’e antaranya Imam Nawawi, berpendapat seseorang yang telah lengkap berpuasa Ramadan perlu menyambung puasanya (enam hari bulan Syawal) secara serta-merta dan berturut-turut setelah merayakan Aidilfitri.
Ini adalah untuk mencantikkan lagi puasa Ramadan yang lepas.
3) Supaya Manusia Tidak Lupa Menunaikan Puasa Sunat Lain
Dengan mensyariatkan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, umat Islam akan terlatih untuk meneruskan puasa sunat yang lain.
Kemungkinan umat Islam akan terlupa untuk meneruskan ibadah puasa sunat lain setelah menyambut hari raya Aidilfitri.
Oleh itu, melalui puasa sunat enam Syawal sekurang-kurangnya mengingatkan kepada umat Islam untuk terus berpuasa, tidak semata-mata menunggu kedatangan Ramadan untuk berpuasa.
4) Mendidik Diri Supaya Bersederhana Dalam Menyambut Aidil Fitri
Aidil Fitri diraikan tanda sebagai tanda kemenangan menempuhi Ramadan yang lalu. Namun itu tidak bermakna umat Islam harus meraikannya sehingga sebulan penuh dalam bulan Syawal itu.
Sebaiknya, puasa sunat Syawal sudah pun dimulai pada 2 Syawal dan dilakukan secara berturut-turut. Hal ini menunjukkan kita tidak terlalu berlebihan dalam berhari raya dan lebih mengutamakan kelebihan dan ganjaran dalam bulan Syawal itu.
Oleh itu, puasa sunat enam pada bulan Syawal adalah keutamaan selepas berpuasa di bulan Ramadan. Dengan itu, ibadah ini sebaiknya dilakukan dengan segera dan lebih afdal secara berterusan atau berselang. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”Surah Ali Imran:133
Namun, bagi golongan wanita yang meninggalkan puasa Ramadan atas sebab datang haid sebaiknya menggantikan puasa Ramadan sebelum berpuasa sunat.
Kebanyakkan ulama berpendapat, seseorang yang meninggalkan puasa Ramadan seelok-eloknya menggantikan puasa itu terlebih dahulu sebelum meneruskan puasa enam hari bulan Syawal.
Semoga segala ibadah kita sentiasa diterima oleh Allah s.w.t
Sumber : Tazkirah.net
0 Response to "Rebut 4 Kelebihan Puasa Sunat Enam Hari Di Bulan Syawal, Rugi Kalau Anda Tak Buat"
Post a Comment