Panduan Terbaik Membina Kandang Kambing Bajet Tanpa Kerugian


 Panduan Reka bentuk Kandang Kambing bajet- Adakah anda merancang untuk memelihara kambing tapi dengan bajet yang rendah tetapi tidak tahu dari mana mahu bermula?


Jangan risau – panduan terbaik ini akan mengajar anda segala yang perlu anda ketahui tentang membina kandang kambing bajet. Sama ada anda pemilik kambing baru atau petani berpengalaman yang ingin menjimatkan  kos, panduan langkah demi langkah ini akan membimbing anda melalui proses membina kandang kambing yang berfungsi dan mampu milik. Dari memilih bahan yang betul hingga merancang tataletak yang sempurna, kami ada untuk anda.


Petua dan tips ini akan membantu anda mencipta ruang kediaman yang selamat dan selesa untuk kambing anda tanpa bajet besar. Dengan sedikit kreativiti dan kemahiran DIY, anda boleh dengan mudah membina kandang kambing yang memenuhi semua keperluan anda. Jangan biarkan sumber yang terhad menghalang anda daripada memulakan ladang kambing anda sendiri. Ketahui bagaimana membina kandang kambing yang mesra bajet dan berikan kambing anda tempat tinggal yang selamat dan gembira yang mereka layak. Mari kita mulakan perjalanan yang menarik ini bersama-sama!


Secara kasarnya, anggaran kos membina kandang kambing adalah di antara RM500 ke RM1ribu bagi setiap ekor kambing. Bagaimanapun kos sebenar adalah bergantung kepada spesifikasi sebenar kandang yang hendak dibina dan kualiti bahan yang digunakan. Turut mempengaruhi kos sebenar adalah lokasi di mana kandang dibina kerana kos buruh dan bahan yang berbeza di antara sesuatu tempat dengan tempat yang lain.


Jika kandang dibuat secara agak ringkas, dan menggunakan kayu terpakai, kos purata bagi seekor kambing mungkin hanya kira-kira RM500. Kos ini boleh mencapai RM1ribu jika spesifikasinya lebih tinggi serta bahan yang digunakan lebih mahal.


Menggunakan formula ini, sekiranya anda bercadang membela 50 ekor kambing betina dan seekor pejantan, and perlu bersedia dengan modal sekurang-kurangnya RM26ribu untuk membuat sebuah kandang. Lain-lain kos adalah untuk membeli peralatan seperti mesin chopper dan peralatan ladang seperti sabit, cangkul dll.


Kos seekor induk betina kacukan adalah di antara RM500 hingga RM600, manakala seekor pejantan Boer Fullblood dengan sijil berharga di antara RM2,500 hingga RM3,500. Jadi secara kasarnya anda memerlukan RM30 ribu untuk baka kambing. Lain-lain kos adalah kos operasi untuk membeli makanan dan ubat-ubatan serta kos elektrik dan petrol.


Panduan Reka bentuk Kandang Kambing bajet


Kandang kambing direkabentuk secara memanjang untuk memaksimakan peredaran udara di dalamnya. Bahagian hadapan atau belakang sebaik-baiknya dibina menghadap matahari terbit dan terbenam bagi membolehkan kandang mendapat cahaya matahari secukupnya. Ini membantu membunuh bakteria, hama, tungau dsb yang merupakan musuh ternakan kambing.


Rekabentuk dan ketinggian bumbung juga perlu diambil perhatian supaya peredaran keluar masuk udara ke kandang dapat dimaksimakan. Di samping mengurangkan haba dari terperangkap di dalam kandang, rekabentuk bumbung yang sesuai juga membantu pertukaran udara, mengelakkan bakteria di dalam udara dari terperangkap di dalam persekitaran kandang dan dengan itu mewujudkan keadaan persekitaran kandang yang lebih sihat. Salah satu pembunuh utama ternakan kambing adalah wabak pneumonia (radang paru-paru) yang merebak dari seekor ternakan kepada yang yang lain melalui udara, dan selalu berlaku di waktu musim hujan.


Ketinggian lantai kandang dari permukaan tanah adalah sebaik-baiknya 6 kaki bagi membolehkan pekerja keluar masuk dengan bebas ke bawah kandang, untuk kerja-kerja mencuci kandang dsb. Permukaan lantai bawah mestilah dibuat sedikit curam dan dibina longkang bagi mengelakkan air bertakung di bawah kandang. Perigi kumbahan wajar dibina bagi membolehkan air kencing ternakan mengalir terus ke dalamnya. Sekiranya kewangan mengizinkan, lantai bawah haruslah disimen supaya tinja(najis) dapat dicuci dengan mudah.


CONTOH-CONTOH KANDANG





Kandang kambing bajet yang sesuai adalah perlu untuk pemeliharaan kambing di Malaysia. Ini adalah kerana keadaan cuaca melampau seperti hujan dan panas terik menyebab kambing-kambing perlukan perlindungan.


Kedudukan kandang-kandang ini boleh dibuat supaya;

Mengurangkan keperluan bergerak terutama dalam memberi makanan.Contohnya,kawasan ragut sumber makanan (stor) mestilah dekat dengan kandang jika boleh.

Jika hendak membina lebih dari satu kandang, jarak di antara dua kandang hendaklah sekurang-kurangnya sama dengan lebar kandang tersebut. Ini adalah untuk menjauhkan jangkitan penyakit.


Apabila membina kandang keperluan-keperluan yang penting untuk menentukan kesihatan dan

kesejahteraan kambing-kambing adalah:


Sistem pengudaraan yang baik bagi menyejukan udara di dalam kandang

Membenarkan cahaya matahari yang cukup untuk masuk ke dalam kandang terutama mataharipagi. - Kedudukan kandang arah Utara-Selatan

Tidak mudah menjadi lembab. Sistem perparitan yang baik di sekeliling kandang

Tidak terkena angin yang kencang

Terpelihara dari hujan dan panas

Kotoran/najis dapat dikumpulkan dan diangkut keluar

Ruang makan dan minum mencukupi

Lantai adalah sesuai dan tidak membahayakan ternakan, seperti terseliuh atau patah tulang.


Bagi membina sebuah kandang kambing yang baik faktor-faktor suhu, cahaya, pengudaraan dan kelembapan yang sesuai di dalam kandang adalah penting. Perubahan suhu, pengudaraan dan kelembapan yang ketara membawa kesan buruk kepada kambing contohnya sebaran penyakit. Jadi sebelum membina sesebuah kandang kambing yang baik pastikan keempat-empat faktor yang tersebut adalah bertepatan.


PEMBINAAN KANDANG


Kandang boleh dibuat di atas tanah ataupun secara berlantai. Pembinaan kandang yang berlantai tinggi dari tanah adalah disyorkan kerana mempunyai sistem pengedaran udara yang baik dan juga senang dicuci.


LANTAI

Di dalam pembinaan kandang, lantai yang dibuat hendaklah

Tahan lama - misalnya tahan dari semburan bahan kimia dan air kencing

mudah dicuci

tidak licin

tidak mencederakan

tidak mudah lembab

Lantai hendaklah dibuat dari bahan yang sesuai seperti beroti yang berukuran 1.5 s.m. (tebal) dan 3.5 s.m. (Lebar), buluh atau batang pinang yang dibelah, anak-anak kayu dan juga papan biasa. Supaya kencing dan najis senang jatuh ke bawah, kayu atau papan lantai diatur dengan jarak 1.2 - 1.8 s.m. tiap-tiap satu. (Jika terlampau luas berkemungkinan kaki anak kambing akan tersepit).

Luas kawasan lantai untuk satu ekor kambing dewasa ialah di antara 0.7 - 1.4 meter persegi (8 - 15 kaki persegi).

Dinding

Dinding hendaklah dibuat dari bahan yang tahan lasak. Ini adalah kerana kambing mempunyai tabiat suka menanduk, menggigit dan menggeser dinding. Bahan-bahan yang boleh digunakan ialah buluh, kayu bulat (kayu hutan) dan papan

Dinding boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

Dari lantai sehingga kira-kira 1 m ke atas boleh dibuat daripada papan, dengan jarak yang lebih rapat antara 1.5 - 2.0 s.m. yang memerlukan ruang yang agak tertutup untuk mengelakkan kesejukan.

Di atasnya boleh digunakan kayu beroti, buluh atau nipah dan anak-anak kayu. Jaraknya di antara satu dengan yang lain 9 - 12 s.m.

BUMBUNG


Bahan-bahan yang boleh dibuat bumbung termasuklah:


Nipah - bagus untuk sistem pengedaran udara dan lebih menyejukkan. (Pada umumnya terdapat kejadian kambing memakan serpihan nipah).

Zink - mudah dipasang tetapi boleh menyebabkan suhu kandang terlalu panas, terutamanya jika tidak ada pokok-pokok pelindung sekitarnya. Jika menggunakan atap zink, ruang di antara lantai dan bumbung hendaklah ditinggikan untuk pengedaran udara yang baik.

Asbestos - bahan yang paling baik untuk dijadikan bumbung tetapi ianya mahal sedikit. Ia tidak saja menyejukkan tetapi juga tidak mudah terbakar.

Aluminium - dapat mengurangkan kesan haba tetapi harga agak mahal.

Palung Makanan


Palung makanan boleh dibuat sama ada di bahagian luar ataupun bahagian dalam iaitu di sepanjang jalan tengah. Lebar palung bahagian bawah ialah 0.3 m dan 0.45 m di bahagian atas. Bagi kandang yang tiada palung makanan, rumput boleh diikat atau digantung di tengah-tengah kandang kira-kira 0.5 m dari paras lantai. Bekas abuk (konsentrat) boleh dibina di bawah palung rumput atau di mana-mana tempat di dalam kandang atau diisi di dalam besen. Air yang cukup dan bersih hendaklah disediakan di dalam baldi atau besen.


Bagi merendahkan kos membina kandang kambing, bahan-bahan digunakan mestilah murah dan tahan lama. Sumber-sumber asli seperti buluh, kayu bulat, nipah rumbia dan sebagainya boleh juga digunakan. Kambing memerlukan ruang lantai 0.7 - 1.4 meter persegi ( 8 - 15 kaki persegi) untuk seekor. Kandang untuk penternakan secara komersil memerlukan kos yang tinggi.


Selamat Mencuba, semoga berjaya!!!


Baca Juga: Senjata Rahsia Pekebun, 9 Manfaat baking soda untuk tanaman


Sumber: Jutawanagro


0 Response to "Panduan Terbaik Membina Kandang Kambing Bajet Tanpa Kerugian"

Post a Comment